PANDUAN PENULISAN REFLEKSI
Pengenalan
Refleksi secara umumnya merupakan salah satu aspek dalam penilaian komponen sahsiah bagi semua tugasan kerja kursus, samada Projek atau KKP. Penulisan refleksi boleh juga terkandung secara langsung dalam aktiviti tugasan kerja kursus sendiri yang merujuk kepada pandangan pelajar terhadap tugasan yang mereka lakukan.
Tujuan
Penulisan refleksi bertujuan membina kepekaan pelajar menghubung kait ilmu teori dan ilmu praktis dalam pembinaan kerjaya perguruan. Ia mengintegrasi ilmu yang diperolehi daripada orang lain dengan ilmu yang diperolehi daripada pengalaman kendiri. Integrasi ini akan membina dan membentuk kematangan dalam diri pelajar untuk menjadi seorang insan guru.
Aktiviti refleksi memerlukan pelajar menghayati erti pengalaman sejajar dengan perkembangan intelektual, menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS), dan membina pemikiran sendiri (independent thought). Melalui aktiviti dan penulisan refleksi dalam pelaksanaan kerja kursus, pelajar dapat melatih diri menjadi bakal guru yang sentiasa bersifat reflektif terhadap persekitarannya.
Kandungan Refleksi
Penulisan refleksi yang baik seharusnya terdiri daripada tiga elemen iaitu :
a) Huraian pengalaman (Retell) – penulisan difokuskan kepada beberapa aspek penting berkaitan tugasan. Penjelasan merujuk kepada apa yang telah dilakukan dan dialami dalam tugasan berkenaan.
b) Hubung kait pengalaman baru dengan pengalaman lalu (Relate) – penulisan harus menjurus kepada kesan pengalaman, aspek pembelajaran atau kesedaran baru. Perkaitan pengalaman baru dengan pengalaman lama harus ditunjukkan.
c) Huraian kesan pengalaman ke atas diri pelajar (Result) – kesan pengalaman yang dilalui terhadap perkembangan diri sebagai seorang guru. Pelajar perlu dapat mengulas dengan membuat analisis atau penilaian ke atas pengalaman yang dilalui dan membina pemikiran atau ilmu baru yang dapat membantu mereka meningkatkan keupayaan sebagai seorang guru.
Penutup
Amalan berfikir secara reflektif dapat membantu pelajar menjadi guru permulaan yang peka terhadap dunia dan kerjaya perguruan. Aktiviti refleksi memberi ruang dan peluang kepada pelajar membuat penambahbaikan ke atas keupayaan mereka dalam mengintegrasi pengalaman sedia ada dengan pengalaman baru. Justeru, diharapkan amalan refleksi melalui pelaksanaan kerja kursus membolehkan pelajar terus berusaha dan berfikir bagi meningkatkan keupayaan diri mereka dalam kerjaya perguruan yang mencabar pada hari ini.
